Blogger’s Power (1)

June 13, 2011


 Oleh: MSK

blogger - Blogger’s Power (1)

Reformasi 99 berjaya menggoncangkan Barisan Nasional dimana pembangkang memenangi banyak kerusi. Terengganu tumbang, Kelantan bertambah kuat, Kedah hilang majority 2/3. Perubahan berlaku kerana rakyat mendapat maklumat daripada internet melalui laman-laman pro-reformasi. Laman Marhaen, Laman Reformasi, Mahafiraun, Web Reformis, Laman Rakyat.

Aku boleh katakan, pejuang reformasi adalah reformis tanpa wajah yang menyalurkan maklumat-maklumat dari dalam.Kita mendapat maklumat dari JPM, dari polis, dari segenap jabatan kerajaan.

Selepas PRU ’99, Barisan Alternatif mula sombong. Siapa yang mengkritik BA akan dianggap SB atau ejen Umno. BA tak boleh dikritik.Siapa yang mengkritik Pas akan dianggap musuh Islam, secular, orientalis, sosialis, komunis. Siapa yang mengkritik Keadilan akan dianggap SB atau ejen Umno.

Penyalur maklumat kepada laman-laman web pro-preformasi ini bukan ahli parti. Malah mereka tetap bekerja di jabatan-jabatan kerajaan. Dan penyokong BA terus menganggap mereka yang bekerja dengan  kerajaan ini sebagai anjing kerajaan. Reformasi di ambil alih oleh Keadilan dan menjadi ‘trade-mark’ mereka. Akhirnya, reformasi dipolitikkan untuk kepentingan parti dan politikus.

Menjelang 2002-2003, satu persatu laman-laman web pro-reformasi hilang. Hanya Laman Marhaen yang satu-satunya masih kekal hingga sekarang. Itupun sudah jauh ketinggalan didalam ranking Alexa. Sumbangan Laman Marhaen cukup banyak untuk reformasi, tapi siapa yang peduli kepada orang yang bertanggungjawab terhadap Laman Marhaen? Member nak beli laptop pun terpaksa minta derma.

Menjelang 2004, hampir tiada lagi laman-laman web pro-reformasi. Rakyat seronok dengan Pak Lah, mendengar TV3 dan membaca Utusan. Barisan Alternatif pula merasakan mereka mampu menumpaskan BN tanpa bantuan sesiapa. Akhirnya, BA bungkus tahun 2004…dan seperti biasa, alasan yang diberikan ialah..rakyat tak dapat maklumat.

Pada Ogos 2004, Malaysia Today dilancarkan oleh Raja Petra. Dan kerancakan pro-reformasi kembali dirasakan. Malaysia Today membongkar penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh BN tetapi dalam masa yang sama mengkritik Barisan Alternatif.

Populariti Malaysia Today menjadi pemangkin kepada satu gelombang maklumat yang baru. Satu persatu blog mula muncul termasuk blog Jeff Ooi, Rocky Bru dan beberapa blog lagi yang anti Pak Lah. Malaysia Today berjaya melakukan apa yang tidak mampu dilakukan oleh Harakah ataupun Suara Keadilan.

PRU 2008, Barisan Alternatif berjaya membuat pencapaian terbaik dengan memenangi 5 negeri dan berjaya menafikan majoriti 2/3 di Parlimen. Tapi kejayaan ini bukan kejayaan blogger seperti Raja Petra atau rakyat jalanan, sebaliknya yang diwar-warkan dan diagungkan ialah kejayaan Pakatan Rakyat.

 Pakatan Rakyat telah berjaya menumbangkan Barisan Nasional!!

Pakatan Rakyat sudah diterima oleh rakyat!!

Pirrraaahh!! Pakatan Rakyat pun belum wujud masa itu.

Dan selepas menang dalam PRU 2008, blogger-blogger dilupakan, sama bagaimana webmaster laman reformasi yang menjadi pejuang tanpa wajah dalam Reformasi 99. Siapa yang mengkritik Pakatan Rakyat akan dianggap musuh. Siapa yang mengkritik Pakatan Rakyat akan dianggap ejen Umno.

Pemimpin Pakatan Rakyat tak peduli kepada media internet sebaliknya meneruskan tradisi Umno dengan majalah bercetak.

Di Perak, Ustaz Zul dilantik menjadi Pengarah Penerangan Negeri dan usaha pertama Penerangan ialah menerbitkan Citra Perak. Kalau dulu, BN mengeluarkan Suara Perak yang memuatkan cerita-cerita baik BN, selepas 2008, Pakatan Rakyat pula menerbitkan Citra Perak yang akhirnya berlonggok diPusat-pusat khidmat. Internet dan blogger tidak dipedulikan. Raja Petra sudah dianggap musuh kerana menyiarkan artikel-artikel yang kritikal tentang Pakatan Rakyat.

Tetapi apabila Perak dirampas oleh BN, masa itu barulah peranan blogger-blogger ini diperlukan. Bloggers Network berkampung selama 3 bulan sehinggalah Nizar keluar dari rumah Menteri Besar, dan blogger menumpang di pejabat Pas Gopeng sehinggalah pilihanraya kecil Bukit Gantang.

Semasa perkampungan, Bloggers Network bukan saja membantu menyiarkan berita-berita tentang Perak, malah blog-blog yang bernaung dibawah Bloggers Network juga menjadi tumpuan rakyat seluruh Malaysia. Perak Express dua kali kecundang kerana tidak mampu menampung pengunjung yang ramai. Blog Perisik Rakyat, Albanjari, Cenangau, Manjung Mari merupakan blog rujukan kalau ingin mengetahui perkembangan di Perak.

Blog mampu melakukan apa yang Harakah dan Suara Keadilan tidak mampu melakukannya kerana orang lebih mempercayai blog dan maklumat diberikan dari pelbagai sudut. Manakala bloggers menyiarkan maklumat tersebut tanpa perlu memikirkan risiko.

Bukan saja melaporkan berita, malah Team Bloggers Network juga menghasilkan satu buku tentang kejatuhan Perak. Walaupun pada akhirnya, Bloggers Network tidak dijemput pada majlis pelancaran buku tersebut, malah kami terpaksa membeli buku kami sendiri. Yang dapat nama ialah Urusetia Penerangan Pakatan Rakyat.

Dan kemuncak kejayaan bloggers Network ialah dalam Pilihanraya Kecil Bukit Gantang. Disaat-saat genting PRK, Ustaz Nasha sebagai Pengarah Pilihanraya Pas Pusat angkat bendera putih. Haji Asmuni pun sudah mengaku kalah. Dan pada masa itu, tanpa sesiapa mengetahui, Bloggers Network memainkan peranan. Sehari sebelum hari mengundi, gambar Ismail Safian di Danok diedarkan. Dan yang membantu memberikan gambar tersebut ialah orang Umno sendiri.

Blog Albanjari dan Perisik Rakyat berjaya mencapai ranking 162 Alexa pada masa itu. Dan ranking tersebut hanya boleh dicapai sekiraya terdapat lebih dari 25,000 pengunjung sehari.

Tetapi selepas PRK Bukit Gantang, bloggers balik ketempat asal. Pakatan Rakyat kembali dengan ceramah dan risalah. Bloggers Network mula berpecah sebab masing-masing kena cari makan. Ada yang kelaut, ada yang bela kambing, ada yang menjual Tricajus.

Reformasi ’99 menjadi pudar apabila “reformasi” itu diambil alih oleh parti. Reformasi di’bunuh” oleh Keadilan apabila ianya dipolitikkan untuk kepentingan parti.

Bloggers Power menjadi pudar apabila peranan blogger diambil alih oleh parti. Perpecahan pertama bermula di PRK Permatang Pasir apabila terdapat dua kelas blogger. Blogger Pas dan blogger non-Pas. Walaupun begitu, masing-masing masih meneruskan peranan, terutamanya dalam pembongkaran tentang salahlaku calon BN, Rohaizat.

Tetapi selepas Permatang Pasir, blogger seperti sudah tidak terurus, malah ada yang mengambil kesempatan keatas blogger seperti yang berlaku semasa PRK Bagan Pinang.

Selepas itu, setiap kali ada pilihanraya kecil, blogger pro-Pakatan menjadi defensive. Mereka kekurangan maklumat dan hanya setakat membalas dakwaan BN ataupun menyerang peribadi calon dengan dakwaan-dakwaan yang tidak cukup kuat untuk dipercayai.

Dalam Pilihanraya Negeri Sarawak, bloggers terpaksa meminta sedekah lagi. Tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan kerana ketiadaan maklumat. Bloggers hanya menyiarkan apa yang berlaku dan ditokok tambah dengan propaganda yang disuarakan oleh pemimpin parti. Maklumat-maklumat hanya boleh diperolehi melalui pihak ketiga seperti Sarawak Report.org. Tidak ada maklumat ‘first-hand’ ataupun ‘inside information’. Ini kerana tidak ada satu Team khas yang boleh dirujuk. Malah Team Bloggers Rakyat yang dianggotai oleh Harris Ibrahim dan Zorro juga tidak bergerak semasa PRN Sarawak. Akhirnya, Pakatan Rakyat tidak mencapai apa yang diimpikan.

Sekarang ini, blog-blog pro-Pakatan sudah banyak yang hilang. Manakala yang masih aktif sudah jauh ketinggalan berbanding blog-blog pro-BN.

Bloggers adalah aktivis politik, bukan ahli politik yang meminta balak, pasir atau projek.